SEORANG murid perempuan Tingkatan Empat maut selepas ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi itu, suspek yang merupakan pelajar Tingkatan Dua dilaporkan membawa senjata tajam dipercayai pisau ke kawasan sekolah sebelum menikam mangsa, lapor Buletin TV3.
Menurut sumber awal, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah dan disedari oleh warga sekolah yang segera menghubungi pihak berkuasa serta ambulans.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum sempat mendapat rawatan lanjut. Suspek kini dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kejadian tikaman membabitkan mangsa, pelajar Tingkatan Empat, dan suspek Tingkatan Dua di sebuah sekolah d Bandar Utama, Petaling Jaya disahkan berlaku di luar kelas dalam kawasan sekolah.
Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Beliau turut menyifatkan kejadian itu sangat menyedihkan dan menuntut siasatan segera.
“Kejadian membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang meninggal dunia, dan setakat ini kita tidak dapat memastikan motif sebenar kejadian ini. Tangkapan sudah dibuat dan insya-Allah Ketua Polis Selangor akan memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu,” katanya
Mohd Khalid turut mengesahkan suspek berusia 14 tahun tidak boleh didedahkan identitinya kerana masih di bawah umur.
UNDILAH |


