DUA penunggang motosikal maut selepas kenderaan masing-masing terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah lori di Kilometer 133.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Pagoh, Johor malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kedua-dua penunggang, masing-masing berusia 20 dan 24 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun telah merempuh belakang sebuah lori dipandu lelaki berusia 27 tahun sewaktu kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan menghala ke utara.
“Berikutan pelanggaran itu, penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya lalu tercampak ke lorong kanan. Dua buah motosikal lain dari belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
“Rempuhan menyebabkan seorang daripada dua penunggang itu yang berusia 24 tahun meninggal dunia, begitu juga penunggang yang merempuh lori turut maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Raiz Mukhliz berkata, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala dan badan.
“Seorang lagi penunggang motosikal turut cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” kata Raiz Mukhliz.
Beliau memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-970 4143 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.


