PENYANYI rap kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee yang dilepaskan dengan jaminan polis sehingga 10 Disember lalu, disambung selama sebulan lagi sehingga 11 Januari depan.
Lanjutan jaminan itu diberikan untuk polis menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsin, 33, yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jaminan polis sebulan itu bermula Khamis lalu berikutan tempoh tamat jaminan adalah sehari sebelum itu.
“Kita masih menunggu laporan toksikologi dan keputusan Jabatan Kimia, justeru jaminan (Namewee) disambung sementara siasatan diteruskan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2, di Kuala Lumpur hari ini.
Namewee direman dari 5 hingga 13 November lepas sebelum dilepaskan dengan jaminan polis hingga 10 Disember bagi menunggu laporan bedah siasat mangsa.
Hsieh ditemukan mati di dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


