Namewee mengaku tidak bersalah miliki bahan terlarang

PENYANYI kontroversi, Wee Meng Chee yang lebih dikenali sebagai Namewee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan baharu iaitu memiliki bahan terlarang pada Oktober lalu.

Pemuzik berkenaan didakwa memiliki 0.78 gram (g) Sildenafil, bahan terkawal yang biasa ditemui dalam ubat mati pucuk di sebuah bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Namewee turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan memiliki 1.57g methamphetamine di hotel sama.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan kes.

Namewee sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dan seorang penjamin atas tuduhan memiliki dadah.

Pada bulan lalu, dia dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah selepas ujian air kencingnya menunjukkan keputusan negatif.

Namewee ditahan di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu, di mana sembilan pil biru, disyaki ekstasi ditemukan dalam biliknya.

Polis mendakwa dia didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC. Dua hari kemudian, dia didakwa di mahkamah.

Namewee turut ditahan dalam siasatan ke atas kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin. Dia dibebaskan dengan ikat jamin, sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img