SEORANG pejalan kaki nyaris maut selepas dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan di persimpangan lampu isyarat Manir, di Kuala Terengganu semalam.
Mangsa yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan pada bahagian paha dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dan mangsa yang sedang menuntun basikal.
Menurut beliau, pemandu lori itu dalam perjalanan dari Padang Nenas menghala ke Bukit Payong, Marang manakala pejalan kaki berkenaan dari rumahnya di Kampung Manir hendak ke sebuah kedai makan berdekatan.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori berhenti ketika lampu isyarat merah. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau dia meneruskan perjalanan sebelum secara tiba-tiba mangsa melintas dari bahu jalan sebelah kiri arah lori dan masuk ke laluannya.
“Pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa dan segera memberhentikan kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Azli, pemandu lori tidak mengalami kecederaan, manakala mangsa cedera pada paha kanan akibat digilis lori berkenaan dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 41 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Semalam, tular dalam media sosial rakaman video kemalangan berkenaan yang memaparkan mangsa menuntun basikal sebelum digilis sebuah lori.


