Pas perlu terajuilah PN, buktikan bukan ‘jaguh kampung’

WALAUPUN Pas sudah wujud dalam arena politik negara sejak tahun 1951. Walaupun Pas sudah menguasai empat negeri dalam pilihan raya, namun masih ramai lagi termasuk orang Melayu tidak begitu yakin dengan keupayaan Pas bukan sahaja menerajui negara waima Perikatan Nasional (PN) sekalipun.

Namun begitu aturan Allah SWT tiada siapa yang tahu. Tindakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan tersebut boleh dianggap  hikmah kepada Pas. Kekosongan yang berlaku  akan membuka peluang kepada Pas untuk menerajui PN.

Sememangnya semua orang tahu, pemimpin Pas bukanlah kelompok yang mahu memburu kuasa atau kedudukan tetapi sudah sampai masanya bagi Pas untuk membuktikan keupayaan pemimpin mereka menerajui sebuah gabungan seperti PN.

Ketepikan hujah-hujah menyatakan pemimpin Pas belum cukup pengalaman tidak seperti pemimpin Bersatu yang ada bekas Perdana Menteri dan bekas menteri kanan.

 Inilah peluang untuk terbaik kepada Pas untuk menimba pengalaman. Kalau mahu menunggu ada pemimpin Pas berpengalaman jadi Perdana Menteri dulu baru jadi Pengerusi PN…entah bilapun tak tahu.

Pas tidak harus mensia-siakan peluang ini untuk menunjukkan bahawa pemimpin Pas ada kemampuan menjadi pemimpin sebuah gabungan. Tidak payah dok pening kepala dengan dakwaan jika Pas yang menerajui PN, bukan Melayu tidak akan menyokong atau akan menjauhi PN.

Ia kerana PN buat macam manapun bukan Melayu tidak akan datang menyokong gabungan itu.Selama ini PN hidup atas sokongan pengundi Melayu bukan undi bukan Melayu.

Kenapa perlu pemimpin PN bimbang bukan Melayu tidak akan undi PN disebabkan Pas menerajuinya? Dulupun selama PN diterajui Bersatu yang dianggap boleh mengimbangi imej ekstrem Pas, tidak ada pula undi bukan menyebelahi PN.

Pas perlu sedar sama ada mereka menerajui PN atau tidak, pengundi bukan Melayu tetap tidak akan menyebelahi PN. Mereka juga kena faham, apapun keputusan sama ada pemimpinnya menjadi pengerusi atau tidak, Pas tetap akan ‘dibantai’ memandangkan sebelum ini Pas sudah mengesahkan akan menerajui PN.

Kalau Pas tidak jadi pengerusi, mereka akan dikatakan tidak ada pemimpin berwibawa untuk menerajui gabungan itu. Kalau Pas menerima jawatan berkenaan, mereka akan dianggap menjauhkan sokongan bukan Melayu kepada PN. Dalam bahasa mudah, ‘ambik pun kena, tak ambik pun kena’!

Walaupun kita tahu penyokong-penyokong Pas mempunyai sikap taat kepada keputusan parti namun mungkin mereka juga sedikit sebanyak akan kecewa kalau Pas menolak peluang menjadi Pengerusi PN.

Kalau Presiden PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang  menolak, lantiklah orang lain. Masih ada dua lagi individu yang layak iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Memegang jawatan Pengerusi belum tentu boleh jadi Perdana Menteri tetapi sekurang-kurangnya ia membuktikan keberanian Pas menerajui sebuah gabungan.

Lagipun kenapa bila dalam bab tertentu mahu ikut Perlembagaan PN contohnya soal peletakan jawatan Muhyiddin tetapi bab mahu melantik pengganti…terus  berhujah  mesti seorang Presiden parti sedangkan sepertimana kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli dalam Perlembagaan PN memang tidak dinyatakan yang jawatan pengerusi mesti terdiri daripada presiden sesebuah parti komponen.

Apa yang ada, kata beliau ialah kemungkinan kebanyakan orang menganggap hanya presiden sesebuah parti saja yang boleh menjadi pengerusi.

“Benda tu tak ada masalah, ikut amalan masing-masing saja,” katanya

Kalau begitu keadaannya, Pas mesti menerajui PN. Pemimpin Pas mesti menyahut cabaran bahawa pemimpin bukan sekadar ‘jaguh memimpin negeri sahaja’ tetapi juga berupaya memimpin peringkat pusat.

Penulis percaya pemimpin-pemimpin Bersatu (kecuali yang berperangai batu api) tidak akan ada masalah Pas jika Pas menerajui. Lagipun ketika ini Bersatu sedang berantakan. Adalah tidak sesuai untuk mana-mana pemimpin Bersatu mahu dilantik memimpin atau kembali memimpin semula PN.

Ia memandangkan Bersatu sedang dalam ‘mode perang saudara’. Ini fakta. Semua orang tahu. Pemecatan seorang demi seorang ahli Bersatu menunjukkan ada sesuatu tidak kena sedang berlaku dalam parti tersebut.

Pada masa sama dengan pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan sebelum ini Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan jumlah Ahli Parlimen Bersatu semakin berkurangan sedangkan Pas kekal dengan 43 Ahli Parlimen. Parti itu aman tenteram Kecuali di Perlis yang semua orang tahu apa puncanya.

Kesimpulannya, Pas janganlah nak tunjuk terlalu baik tidak mahu jawatan sehingga menolak peluang terbuka untuk menerajui PN.Tambahan pula  Pas akan mengambil alih jawatan itu secara tertib sebab Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat. Tiada siapapun paksa bekas Perdana Menteri itu berundur.

 Kalau ikut Tan Sri Annuar Musa, Muhyiddin pun dah cakap kalau Pas mahu jadi Pengerusi PN, beliau sedia serahkan. Kini Muhyiddin berundur dengan sukarela.  Jadi Pas hormatilah keputusan beliau, sudah tentu dengan langkah itu Muhyiddin boleh memberi tumpuan untuk menyatukan kembali Bersatu.

Oleh itu Pas kena buktikan mereka juga ada pemimpin berwibawa untuk menjadi pemimpin utama PN. Jangan sampai nanti orang kata pemimpin Pas hanya bertaraf ‘jaguh kampung’ – kat negeri sahaja hebat, bila ke pusat terus ‘terencat’.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img