Pas tak perlu ubah pendekatan PN untuk buru sokongan bukan Melayu

KADANG kala hairan, kadang kala muak apabila membaca hujah berkaitan Perikatan Nasional (PN) dan sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya.

Terbaru ada yang mengatakan tanpa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sukar untuk PN mendapat sokongan kaum tersebut. Penulis tidak pasti sama ada kenyataan itu dibuat berdasarkan fakta atau main cakap sahaja. Tetapi apa pasti sejak pilihan raya 2008, kira-kira 80 peratus pengundi bukan Melayu menyokong Pakatan Harapan (PH), keadaan itu berterusan sehingga ke hari ini.

Sebenarnya tidak kisah pun dan tidak ada salahnya bukan Melayu tidak menyokong gabungan lain sama ada Barisan Nasional (BN) atau PN, tetapi mengaitkan golongan itu tidak mahu menyokong disebabkan ada parti tertentu, rasanya itu agak keterlaluan.

Ia kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Muhyiddin memimpin PN dan Azmin pun berada dalam satu pasukan, pengundi bukan Melayu tahu kejayaan Muhyiddin membawa negara keluar dari Covid-19, tetapi adakah mereka menyokong PN?

Begitu juga di Selangor, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), sokongan bukan Melayu terhadap PN yang diketuai oleh Azmin di peringkat negeri mendapat undi bukan Melayu sekitar 1 peratus hingga 5 peratus sahaja. Selebihnya PN ‘hidup’ kerana pengundi Melayu.

Boleh sahaja berhujah bahawa keadaan itu berlaku kerana dalam PN tidak ada parti komponen mewakili bukan Melayu, cuma ada Gerakan tetapi  bagaimana dengan BN yang diketuai UMNO. Di dalam itu ada MCA dan MIC tetapi lihat adakah pengundi bukan Melayu menyebelahi BN…sekadar mahu bermimpi, tidak ada masalah.

Penulis bersimpati dengan MCA dan MIC apabila mereka disalahkan oleh sesetengah pemimpin UMNO disebabkan tidak dapat meraih undi bukan Melayu sehingga tercetus hasrat mereka untuk meninggalkan gabungan BN kerana dilayan bagaikan ‘lepas madu sepah dibuang’.

Semua keadaan itu membuktikan bahawa hujah mengatakan PN sukar menarik sokongan bukan Melayu jika Pas  menerajui gabungan tersebut adalah hujah dangkal. Ia bukan soal siapa yang menerajui PN tetapi soal pengundi bukan Melayu ‘sudah sebati’ dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.

Pengundi Cina contohnya, menjadi kelompok pengundi terbesar yang menyokong  PH dianggap ‘nyawa politik’ untuk pakatan tersebut. Ia dibuktikan apabila dalam PRU-15, PH mendapat sokongan sekitar 95 peratus daripada pengundi berkenaan. Itu hak pengundi untuk memilih siapa yang mereka mahu, lagipun mereka melihat DAP jauh lebih berkesan di dalam PH berbanding MCA dalam BN atau Gerakan dalam PN.

Alasan yang selalu dihujahkan ialah Pas dilihat ekstrem. Soalnya siapakah yang menyebabkan Pas dilihat berimej demikian. Bukannya ia juga hasil ‘serangan’ daripada pemimpin parti Melayu sendiri?

Kalau Pas ekstrem sudah pasti, parti itu tidak akan membuka kerjasama dengan BN dan PH melalui Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan terkini Perikatan Nasional (PN), selain sebelum ini Muafakat Nasional (MN).

Cuma kelemahan Pas seperti mana kata penganalisis politik Dr.Mohamad Tawfik Yaacob ‘’Pas ini agak sukar duduk dalam sebuah gabungan kerana ketegasan perjuangannya yang sukar untuk menerima pandangan-pandangan yang tidak sealiran dan akhirnya menyebabkan Pas mengambil pandangan atau jalan yang berlainan.’’

Bagaimanapun kalaupun Pas hendak berubah ia bukanlah bertujuan untuk ‘memburu’ pengundi bukan Melayu tetapi bagi membolehkan mereka mencapai kesepakatan dengan parti-parti Melayu lain seperti UMNO dan Bersatu. Jika ada mana-mana parti bukan Melayu hendak bekerjasama dengan PN boleh sahaja tetapi ia tidak bermaksud Pas atau PN kena berubah kononnya bagi meraihkan sokongan bukan Melayu.

Jika Pakatan Harapan begitu teguh mempertahankan prinsip dan hala tuju perjuangan mereka walaupun mendapat hanya antara 11 peratus hingga 31 peratus sokongan pengundi Melayu, kenapakah perlu PN begitu gelojoh mahu memburu sokongan pengundi bukan Melayu?

Kita sudah berada di tahun 2026, tahun yang seharusnya dijadikan tahun untuk menyatukan ummah dan memperkukuhkan kuasa politik Melayu. Paling penting memiliki keyakinan bahawa pengundi Melayu juga mempunyai kekuatan untuk menjadi faktor penentu  dalam pilihan raya. Sekarang ini bila cakap sahaja pasal pilihan raya terus terlintas di fikiran bahawa pengundi bukan Melayu menjadi penentu.

Kesimpulannya, Pas seharusnya diberi peluang untuk menerajui PN dan mencari jalan bagaimana mahu menyatukan parti-parti Melayu. Jika ada parti bukan Melayu merasakan berasa tidak selesa, mereka boleh mengundurkan diri atau tidak perlu bergabung dalam PN kerana  ‘nyawa politik’ PN di tangan orang Melayu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img