Pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah gagal patuhi notis isytihar harta daripada SPRM

SEORANG pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenda (DSP) mengaku tidak bersalah  di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur  atas dua pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta.

DSP Mohd Shahril Abu Bakar, 41, didakwa di hadapan Hakim Rosli Ahmad mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mengabai dan tidak mematuhi terma notis bertulis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta 694 yang dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 30 Mac 2024.

Antara harta yang gagal diisytihar membabitkan wang yang dimasukkan ke dalam dua akaun perbankan milik syarikat Tahara Services yang mana tertuduh mempunyai kepentingan terhadapnya.

Dia juga dituduh gagal mengenal pasti cara harta yang diperoleh, antaranya membabitkan wang emas digital yang disimpan melalui platform Public Gold seberat 716.8 gram, wang kripto dilaburkan melalui platform Luno sebanyak RM80,000, wang di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM39,198.48.

Harta lain ialah wang di dalam akaun ASB milik anak-anaknya berjumlah RM110,000 dan wang yang dibayar kepada Affin Islamic Bank Berhad bagi pinjaman perumahan sebuah rumah beralamat di Johor Bahru sebanyak RM68,000. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 28 Jun 2024.

Jika sabit kesalahan, beliau yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Rosli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sebelum menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img