Pegawai Perhubungan Komunikasi SPRM main peranan penting kukuhkan mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan hanya memfokuskan kepada aspek operasi dan siasatan semata-mata, malah turut aktif dalam usaha memberi mendidik masyarakat, melaksanakan komunikasi strategik serta melakukan penambahbaikan tatakelola organisasi.

Sehubungan itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM,  Hisyam Mohd Yusoff berkata, peranan Pegawai Perhubungan Komunikasi (PPK) agensi penguat kuasa itu amat signifikan dalam memastikan mesej pencegahan dapat disampaikan secara berkesan, tepat serta meluas melalui pelbagai saluran komunikasi.

‘’PPK juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyampaian mesej pencegahan rasuah khususnya kepada pihak media,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Pemantapan Pengurusan Media Zon Utara yang diadakan di Pejabat SPRM Negeri Kedah, Cawangan Anak Bukit, di Alor Setar hari ini.

Program selama dua hari yang bermula semalam itu melibatkan penyertaan seramai 15 pegawai SPRM dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis, dengan tujuan meningkatkan keupayaan pegawai dalam pengurusan media serta penyampaian maklumat  lebih efektif.

Pelaksanaan program itu selaras dengan fokus serta amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri  Azam Baki yang mahukan agar SPRM lebih giat mengadakan kolaborasi berterusan bersama pelbagai pihak termasuk media.

Dalam program tersebut, para peserta diberi pendedahan berkaitan teknik pengurusan media, pengendalian komunikasi strategik serta penulisan laporan dalam bentuk berita dan rencana mengikut piawaian penerbitan.

Pegawai-pegawai BKS turut berkongsi panduan berkaitan format, gaya penulisan laporan berita dan teknik fotografi bagi tujuan hebahan dalaman serta liputan media, agar maklumat yang disampaikan lebih tersusun, tepat dan mudah difahami.

Hisyam menegaskan,  peningkatan kompetensi dalam penulisan laporan berita adalah penting bagi memastikan setiap aktiviti, inisiatif serta kejayaan SPRM dapat dilaporkan secara tepat, profesional dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

”Komunikasi strategik yang berkesan dan berimpak merupakan elemen penting dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap peranan SPRM dalam usaha membanteras rasuah.’’ katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah,  Syed Aswadi Syed Soffian yang mewakili Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, SPRM Kedah amat mengalu-alukan program perkongsian kepakaran serta pembelajaran seumpama itu bagi meningkatkan kemahiran pegawai-pegawai Zon Utara, khususnya dalam aspek penulisan dan pengurusan media.

“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran komunikasi pegawai, malah membantu menyeragamkan gaya penulisan serta memastikan setiap hebahan mematuhi standard penerbitan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap agar kerjasama dan perkongsian ilmu antara SPRM negeri-negeri di Zon Utara dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan fungsi komunikasi strategik dan peranan advokasi SPRM di peringkat akar umbi.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan BKS SPRM, Badrila Jamlus dan Ketua Penolong Pengarah BKS SPRM, Azrai Mohammad.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img