SEORANG pekerja pembersihan lelaki melecur hampir seluruh badan selepas tong gas memasak meletup di rumahnya di Taman Pagoh Jaya, Muar, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam tadi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan melecur dan segera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Nor Alfattah Omar berkata, tujuh anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 malam.
“Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki yang juga penghuni rumah terbabit melecur 30 peratus pada hampir keseluruhan anggota badannya.
“Kebakaran berjaya dipadamkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan lelaki berusia 51 tahun itu sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah.


