AKIBAT terperdaya dengan skim pelaburan kripto tidak wuud yang menjanjikan pulangan keuntungan 20 peratus, seorang jurubahasa persendirian kerugian lebih RM500,000
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa berusia 37 tahun itu berkenalan dengan seorang suspek warga China yang menggunakan nama samaran aplikasi Instagram pada Ogos lalu sebelum komunikasi mereka diteruskan di WhatsApp.
‘Suspek kemudian memperkenalkan skim pelaburan mata wang kripto dengan pulangan dijanjikan sebanyak 20 peratus. Mangsa yang pada mulanya melabur sebanyak RM8,740 pada 22 Ogos lalu menerima pulangan keuntungan awal kira-kira RM9,595 menyebabkan dia semakin yakin untuk menambah pelaburan.
“Di antara 26 Ogos hingga 5 September, mangsa yang merupakan seorang wanita telah membuat 12 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun berbeza berjumlah RM572,130,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad Nasir berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat pinjaman bank untuk menambah pelaburan.
Katanya, bagaimanapun, mangsa mula menyedari ditipu dana seterusnya membuat laporan polis.
DI KUANTAN, Seorang juruteknik kerugian RM263,430 apabila menjadi mangsa tawaran pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 45 tahun melayari Facebook 21 Jun lalu tertarik dengan tawaran keuntungan lumayan melalui skim pelaburan yang diiklankan.
‘’Mangsa dihubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga 600 peratus. Dalam tempoh 3 Ogos hingga 17 September lalu, mangsa telah membuat 12 transaksi bayaran pelaburan melalui dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM263,430,’’ katanya.


