HARI Jumaat 7 November 2025 menjadi hari yang tidak akan dilupakan oleh pelajar, guru dan kakitangan di SMAN 72 Jakarta yang terletak di Kelapa Gading Barat, Jakarta Utara. Apa yang bermula sebagai hari persekolahan biasa berjalan seperti dijadualkan sehinggalah waktu solat Jumaat diadakan di masjid sekolah.
Pelajar, guru, pekerja kantin dan pengawal sekolah turut serta menunaikan solat berjemaah. Ibadah bermula dengan penuh khusyuk, dari azan hingga khutbah yang disampaikan oleh khatib. Jemaah memenuhi ruang masjid dan lorong sekitarnya, manakala sebahagian pelajar yang lewat masih berwuduk di luar.
Namun, sejurus selepas doa dan ketika iqamah hendak dilaungkan, suasana tenang itu tiba-tiba bertukar menjadi panik.
Satu letupan kuat kedengaran, dipercayai berpunca dari bahagian tengah bangunan, disusuli satu lagi letupan berhampiran pintu masuk masjid.
“Kami nampak tiga objek yang kelihatan seperti bom buatan sendiri — tin dengan sumbu — tetapi hanya dua yang meletup,” kata Sela, seorang pelajar SMAN 72.
Menurut Sela, letupan itu dipercayai dilakukan oleh seorang pelajar sekolah tersebut, mungkin sebagai tindakan balas dendam selepas menjadi mangsa buli berulang kali.
Letupan itu amat kuat, menyebabkan suasana kelam-kabut dan panik. Beberapa pelajar mengalami kecederaan, ada yang terjejas penglihatan dan pendengaran. Walaupun ketakutan, Sela tetap cuba membantu rakan-rakan yang cedera, sementara guru dan pelajar lain berusaha memindahkan mangsa. Penduduk sekitar juga bergegas datang memberi bantuan.
Puluhan mangsa yang cedera dibawa ke beberapa hospital di sekitar Jakarta untuk rawatan segera.
Insiden itu menarik perhatian serius pihak berkuasa. Polda Metro Jaya segera menghantar unit pemusnah bom (Jibom dan Jihandak) bersama anggota keselamatan lain ke lokasi kejadian. Pihak polis menutup kawasan, menjalankan siasatan forensik serta menemu bual saksi bagi mengenal pasti punca kejadian.
Timbalan Menteri Koordinator Bidang Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Lodewijk Freidrich Paulus, turut melawat lokasi tidak lama kemudian. Dalam sidang media, beliau mengesahkan bahawa letupan berlaku sekitar jam 12.15 tengah hari (1.15 petang waktu Malaysia), ketika solat Jumaat sedang berlangsung.
Lodewijk juga menjelaskan mengenai video yang tular menunjukkan sepucuk pistol di lokasi, memaklumkan bahawa senjata itu hanyalah pistol mainan. Beliau mengesahkan terdapat 20 mangsa keseluruhan — tiga cedera parah dan 17 lagi cedera ringan.


