Pelajar Tingkatan Lima mengaku berkhalwat dengan teman lelaki dalam tandas di kolej vokasional

SEORANG pelajar Tingkatan 5 dan teman lelakinya masing-masing didenda RM2,000 dan RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh, Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah berkhalwat di dalam tandas sebuah kolej vokasional, semalam.

Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pemberatan hukuman dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, Muhammad Aqil Hakimi Azri, 20, dan pelajar perempuan berusia 17 tahun itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, namun mereka menjelaskan bayaran berkenaan melalui keluarga masing-masing, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aqil Hakimi didapati berkurung yang mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan isteri atau mahramnya di dalam tandas perempuan kolej berkenaan kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 53 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pelajar perempuan terbabit didakwa mengikut Seksyen 53 (2) enakmen sama, iaitu berkurung dengan lelaki bukan muhrimnya atau suami pada tarikh, masa dan di tempat sama, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM2,000 atau dipenjarakan sehingga 24 bulan atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan Muhammad Aqil Hakimi yang juga bekas pelajar di sekolah sama dan kini bekerja dengan syarikat konsesi pembersihan memohon denda ringan kerana menanggung keluarga, manakala remaja perempuan itu memberi alasan masih belajar.

Radzwan dalam hujahnya menegaskan kesalahan penzinaan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah dosa besar yang dilarang selaras perintah Allah dan memohon hukuman berat dikenakan.

Katanya, kesan kesalahan itu amat serius kerana banyak keburukan sehingga menjadi kesalahan di akhirat kelak.

“Hukuman yang dikenakan perlulah mencerminkan kepentingan menjaga maslahah ammah dan maqasid syariah menjadi sandaran utama dalam membanteras kesalahan ini.

“Apatah lagi kes sebegini semakin meningkat dan perlu dikekang demi menjaga keutuhan undang-undang syariah,” katanya.

Berdasarkan siasatan pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), tertuduh lelaki  mengaku melakukan hubungan seks dengan pelajar terbabit di dalam tandas berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img