Pemilihan pelantikan pimpinan tertinggi ATM bukan sekadar naik pangkat

Oleh PENULIS KHAS

KEBELAKANGAN ini, nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menjadi perhatian umum.

Bagaimanapun  tumpuan itu bukan berkaitan kejayaan operasi, latihan besar atau penglibatan misi antarabangsa, sebaliknya kepada isu-isu persepsi mengenai tadbir urus dan integriti khususnya melibatkan kepimpinan kanan atau tertinggi ATM.

Apabila perkara sedemikian berlaku, ia secara tidak langsung mengundang persoalan awam yang wajar dan berasas iaitu bagaimana proses pelantikan ke jawatan tertinggi dilaksanakan, sejauh mana prinsip meritokrasi diamalkan dan bagaimana ketelusan sistem itu dapat terus diyakini.

Soalan-soalan ini bukan bertujuan menuduh atau meragui individu tertentu sebaliknya mencerminkan keprihatinan terhadap institusi pertahanan negara yang menjadi benteng kedaulatan.

Jawatan kepimpinan kanan dalam ATM bukan sekadar simbol pangkat dan kedudukan. Ia adalah amanah strategik yang menentukan hala tuju pertahanan negara, budaya organisasi, pengurusan perolehan berskala besar serta nilai yang diteladani oleh seluruh warga tentera. Justeru, kredibiliti proses pelantikannya amat penting.

Secara prinsipnya sistem kenaikan pangkat dan pelantikan kepimpinan dalam ATM adalah berasaskan prestasi, pengalaman, kelayakan dan rekod perkhidmatan. Namun, dalam organisasi yang besar dan kompleks sering timbul persepsi bahawa faktor tidak rasmi seperti hubungan profesional lama, kebiasaan bekerja bersama atau tahap kebolehpercayaan peribadi turut mempengaruhi pertimbangan.

Walaupun faktor ini tidak semestinya salah, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa peluang tidak sentiasa dirasai secara sama rata.

Isu persepsi ini perlu ditangani dengan berhati-hati kerana ia berpotensi menjejaskan semangat pegawai yang berprestasi tinggi tetapi kurang menonjol dari segi rangkaian atau keterlihatan.

Dalam jangka panjang, persepsi sebegini boleh memberi kesan kepada motivasi, daya saing sihat dan keyakinan terhadap sistem.

Hubungan institusi ATM dengan Raja-Raja Melayu dan Istana pula merupakan sebahagian daripada struktur perlembagaan dan tradisi negara yang perlu dihormati. Dalam konteks pengurusan persepsi, sebarang tanggapan bahawa hubungan peribadi atau keterlihatan sosial memberi kelebihan dalam pelantikan perlu ditangani dengan penjelasan yang jelas dan telus agar prinsip merit terus menjadi teras.

Peranan veteran ATM juga wajar dihargai. Pengalaman dan pandangan mereka adalah aset penting kepada organisasi. Keseimbangan perlu dijaga supaya nasihat dan pengaruh kekal dalam kerangka profesional tanpa mencetuskan persepsi konflik atau kesinambungan kepentingan peribadi selepas persaraan.

Begitu juga dengan pengurusan projek dan perolehan pertahanan. Pegawai kanan yang terlibat secara langsung dalam projek strategik sememangnya lebih menonjol dari sudut pendedahan dan pengalaman.

Dalam era tadbir urus moden, pengurusan konflik kepentingan dan pemisahan peranan sebelum dan selepas persaraan perlu sentiasa diperjelaskan bagi memelihara keyakinan awam.

Satu lagi cabaran yang sering dibincangkan ialah kecenderungan memilih kepimpinan yang dianggap “selamat” dan tidak mencetuskan perubahan besar.

Dalam konteks keselamatan serantau dan global yang semakin mencabar, ATM memerlukan kepimpinan yang berani berfikir ke hadapan, berintegriti serta mampu menyesuaikan organisasi dengan ancaman baharu.

Hakikatnya, ATM kekal sebagai institusi yang kuat, profesional dan berdisiplin. Anggotanya terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Bagaimanapun kekuatan sebenar sesebuah angkatan tentera bukan hanya terletak pada aset dan persenjataan tetapi pada tahap kepercayaan warga bawahan terhadap kepimpinan tertinggi.

Apabila anggota yakin bahawa pemimpin dilantik berdasarkan kelayakan, kebolehan dan integriti maka kesetiaan dan ketaatan akan terpelihara secara semula jadi. Oleh itu, perbincangan matang mengenai penambahbaikan ketelusan dan komunikasi dalam proses pelantikan bukanlah usaha membuka aib, sebaliknya langkah memperkukuh institusi.

ATM bukan sahaja perlu kekal unggul di medan operasi tetapi juga diyakini dari segi tadbir urus, keadilan dan integriti dari peringkat tertinggi hingga ke anggota paling bawah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img