TERTARIK dengan tawaran keuntungan berlipat kali ganda apabila menyertai satu pelaburan saham dalam talian, seorang pemilik tadika akhirnya kerugian RM1.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim itu yang sebenarnya tidak wujud.
Mangsa, seorang wanita berusia 42 tahun sebelum itu melihat iklan pelaburan tersebut dalam media sosial yang menawarkan keuntungan tinggi dan lumayan pada September lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dia kemudiannya menghubungi pengendali skim pelaburan itu menerusi telefon untuk mendapatkan maklumat lanjut dan telah dijanjikan keuntungan sehingga 41 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang dibuat.
Menurut beliau, mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah membuat transaksi pembayaran berjumlah RM1.3 juta ke beberapa akaun bank atas arahan suspek, antara 6 hingga 21 November lalu.
“Bagaimanapun setelah pembayaran dibuat, suspek terus mendesak mangsa untuk memasukkan sejumlah wang tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran ‘keuntungan’.
“Mangsa yang gagal menerima pulangan keuntungan seperti dijanjikan mengesyaki dia telah ditipu, sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.
“Pada masa sama, polis ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dan tidak munasabah, lebih-lebih lagi yang dilihat melalui media sosial,” katanya.


