ISU penggantian Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berikutan peletakan jawatan itu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mencetuskan ketegangan hubungan antara Bersatu dan Pas.
Ia berikutan tersebar surat Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kepada presiden-presiden parti komponen PN yang mendakwa terdapat kesepakatan antara parti itu dan Pas untuk ‘’struktur PN dirombak dengan mewujudkan Majlis Presiden yang diketuai oleh Bersatu dan Majlis Eksekutif diketuai Pas.’
Hari ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan partinya dan Bersatu bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Tuan Ibrahim turut menafikan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Muhyiddin dan pemimpin Pas yang lain pada 16 Januari lalu.
“Kita setuju memperkasakan Majlis Presiden. Mekanisme dan struktural akan dibincang semula. Itu yang dibincangkan,” katanya kepada FMT.
Surat Muhyiddin itu antara menyatakan, ‘’ Peranan utama Majlis Presiden ialah sebagai sebuah badan tertinggi yang membuat ketetapan-ketetapan dasar Perikatan Nasional manakala Majlis Eksekutif pula menjalankan pentadbiran Perikatan Nasional selaras dengan dasar-dasar yang ditetapkan oleh Majlis Presiden.’’
Turut memberi reaksi terhadap surat itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang melalui Facebook beliau membuat kenyataan berikut:
”Pihak kami kesal dengan penularan surat Presiden Bersatu yang ditujukan kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN bertarikh 27 Januari 2026, seperti yang tersebar kepada pihak media.
”Pihak kami tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
”Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN, untuk perhatian sewajarnya. Sekian, terima kasih.”
Sementara itu sumber memberitahu utusamelayuplus, tindakan Muhyiddin mengutuskan surat berkenaan bukan sahaja menimbulkan kemarahan dalam kalangan kepimpinan Pas malah dalam Bersatu sendiri wujud perasaan tidak puas hati.
Kata sumber itu, mereka mempersoalkan apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh Muhyiddin dan menganggap tindakan tersebut hanya akan mengeruhkan lagi keadaan khususnya melibatkan hubungan kedua-dua parti.
‘’Mereka mempersoalkan apa sebenarnya yang Muhyiddin mahu? Kalau beliau mahu terus menjadi Pengerusi PN, kenapa hari itu meletakkan jawatan tersebut,’’ kata sumber tersebut.


