Penarik kereta rugi RM267,250 akibat sindiket wang kripto, pekebun ‘hangus’ RM110,840 ditipu beli kereta dalam talian

PELABURAN wang kripto dan penjualan kereta  tidak wujud terus memperdaya orang ramai mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit. Kali ini seorang penarik kereta dan pekebun menjadi mangsa.

DI JOHOR BHARU,   Seorang penarik kereta kerugian RM267,250, selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata warga emas berusia 64 tahun itu membuat laporan semalam, selepas menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi melengkapkan syarat pengeluaran keuntungan.

Beliau berkata sindiket tersebut menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat, berdasarkan jumlah pemindahan wang.

“Setiap transaksi mangsa dikira sebagai mata ganjaran dan mangsa perlu memperoleh 100 mata sebelum dibenarkan mengeluarkan wang keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata mangsa secara keseluruhan membuat 49 transaksi berjumlah RM267,250 ke dalam tujuh akaun bank tempatan antara 18 Ogos hingga 19 Sept lepas.

Bagaimanapun mangsa didakwa hanya memperoleh 98 mata, sebelum diminta membuat bayaran tambahan berjumlah RM88,184. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

DI KOTA TINGGI, hasrat seorang pekebun mahu membeli kereta berkecai apabila rugi RM110,840 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kenderaan itu  secara dalam talian yang tidak wujud melalui aplikasi Facebook, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 55 tahun itu terlihat iklan jualan kereta terpakai jenis Toyota Vios pada harga RM49,000.

“Mangsa yang bersetuju untuk membeli kereta terbabit telah diminta membuat beberapa bayaran secara dalam talian yang kononnya melibatkan wang deposit, pendaftaran dan lain-lain proses pembelian hingga jumlah keseluruhan mencecah RM110,840.

“Mangsa telah melakukan 17 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun penerima sejak awal September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa mula berasa curiga apabila harga kereta itu melebihi harga yang diiklankan sebelum menyedari dirinya telah ditipu.Yusof berkata mangsa membuat laporan polis semalam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada individu tidak dikenali melalui perkhidmatan Semak Mule serta memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img