ANALISIS
SEPERTI dijangka pemecatan dan penggantungan dua ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini hanya akan memudaratkan parti tersebut kerana mereka sudah pasti tidak akan duduk diam.
Semalam, sedikit sebanyak persoalan yang bermain di fikiran ramai orang terjawab apabila Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan kemelut yang berlaku dalam parti berusia sembilan tahun itu.
Melalui program The Zaid Ibrahim Podcast, Wan Fayhsal ‘mengesahkan’ dakwaan bahawa Pas lebih cenderung menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, susulan kepemimpinannya dalam menggerakkan jentera Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).
Selain itu karakter Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut dikatakan disenangi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Wan Ahmad Fayhsal mendakwa sokongan itu jelas kelihatan apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menamakan Hamzah menjadi Ketua Pembangkang.
“Dalam mesyuarat selepas satu mesyuarat yang diadakan selepas PN gagal membentuk kerajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanya kepada Tuan Guru), siapa yang Pas mahu namakan sebagai Ketua Pembangkang dan beliau segera menjawab, Pas setuju menamakan Datuk Seri Hamzah.
“Saya lihat Tan Sri Muhyiddin agak terkejut kerana Datuk Seri Hamzah ketika itu ialah Setiausaha Agung PN. Pas pun nampak Datuk Seri Hamzah memainkan peranan yang berkesan untuk menyatukan jentera Pas dan Bersatu, sebab itu kita menang PRU15 (kerusi terbanyak),” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam.
Sebenarnya kalaupun Wan Fayhsal tidak mengesahkan perkara itu, ia bukan lagi rahsia bahawa Pas sememangnya sudah ‘tidak lagi selesa’ untuk Muhyiddin menjadi calon PM. Pemilihan Hamzah sebagai Ketua pembangkang itu adalah isyarat pertama.
Ia ‘disusuli’ dengan isyarat-isyarat seterusnya termasuk kelantangan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang sejak awal lagi tidak merestui Muhyiddin kekal sebagai calon ‘poster boy’ dan calon PM.
Mereka juga ‘terasa’ apabila beberapa pelantikan dalam PN tidak terlebih dahulu merujuk kepada Pas sebagai parti sekutu. Berikutan itu Pas tidak menyatakan sokongan untuk Muhyiddin menjadi calon PM PN, walaupun Bersatu sudah menamakan Ahli Parlimen Pagoh tersebut.
Baru-baru ini di Muktamar Tahunan Pas, parti itu menegaskan calon PM akan diumumkan selepas pilihan raya berakhir. Dan ia dilanjutkan oleh Abdul Hadi di Dewan Rakyat minggu lalu yang menyatakan ‘menang pilihan raya dulu, baru cakap pasal calon PM’’.
Selain kisah kecenderungan Pas kepada Hamzah, Wan Fayhsal mengesahkan dalam Bersatu sememangnya terdapat pihak-pihak tidak senang dengan Ahli Parlimen Larut tersebut.
“Beliau mempunyai karakter yang disukai semua Ahli Parlimen. Majoriti Ahli Parlimen PN menyokong beliau sebagai Ketua Pembangkang, jadi memang tiada isu terhadap kepemimpinannya,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, keadaan itu menyebabkan Hamzah kurang disenangi segelintir pimpinan Bersatu, yang mendakwa beliau membayangi kepemimpinan Muhyiddin, sehingga pada satu Bersatu.
“Ada ketika di mana hubungan Datuk Seri Hamzah dan Presiden agak renggang kerana orang ketiga yang mencucuk, apabila beliau lebih ke depan dan mendapat liputan. Ini kerana beliau hanya Setiausaha Agung yang dilantik, jadi (dikatakan) pandai-pandailah, jangan membayangi. Bila nak ke depan, ada orang Presiden tegur beliau balik. Ini masalah yang dihadapi beberapa tahun ini,” dakwanya
Dalam soal membayangi Muhyiddin, penulis tidak nampak bekas Perdana Menteri itu mempunyai perasaan tersebut. Kalau beliau bimbang Hamzah akan dilihat lebih menonjol, sudah tentu beliau tidak akan mencadangkan jawatan Timbalan Presiden tidak ditandingi.
Tetapi Muhyiddin yang mencadangkan Hamzah menjadi orang nombor dua Bersatu. Tak kan Muhyiddin hendak sabotaj Hamzah pula atau hanya bersandiwara dalam soal pelantikan Hamzah ke posisi tersebut.
Justeru penulis lebih cenderung untuk ‘mengkaji maklumat’ yang menyatakan ‘ada orang atau ada sekumpulan orang’ yang bimbang jika Hamzah akan membayangi Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.
Anehnya,kelompok ini juga begitu yakin bahawa Muhyiddin lebih layak daripada Hamzah, kelompok itu juga yang percaya rakyat masih mahukan ‘abah’, kelompok tersebut juga yang menguar-uarkan tanpa Muhyiddin, Bersatu tidak akan ke mana.
Kalau itu pandangan dan pegangan mereka maka tidak perlu membuat gerakan-gerakan yang boleh meretakkan hubungan Muhyiddin dengan Hamzah dan seterusnya menghuru-harakan parti.
Penulis percaya selepas ini banyak lagi akan didedahkan oleh Wan Ahmad Fayhsal yang pastinya sedikit sebanyak akan menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat dan mungkin juga ada tindak balas daripada Pas demi memastikan PN tidak terseret.
Oleh itu sebelum terlambat, Muhyiddin perlu memulihkan suasana dalam parti, ia termasuklah juga melihat semula pemecatan dan penggantungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal.
Janganlah Bersatu menerima nasib seperti UMNO pecat orang itu, gantung orang ini..akhirnya bila pilihan raya…di sana tak untung, di sini pula rugi. Berkuasa pun orang kata disebabkan diberi peluang ‘tumpang sekaki’ oleh PH termasuk DAP.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]


