Pengkhianat rakyat Palestin, Ketua militia pro-Israel di Gaza, Yasser Abu Shabab ditembak mati

YASSER Abu Shabab, pemimpin militia yang beroperasi di bawah penyeliaan Israel di selatan Gaza, dilaporkan ditembak mati hari ini oleh penyerang tidak dikenali di kawasan Semenanjung Gaza, menurut media Israel.

Kematian beliau berlaku beberapa minggu selepas pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan kumpulan-kumpulan militia lain yang bekerjasama dengan pasukan  Israel sepanjang perang.

Laman Hebrew Hadashot Yisrael dalam ulasannya menyatakan bahawa dengan kematian Abu Shabab, “Hamas kini akan dapat bergerak bebas di Gaza.”

Abu Shabab mengetuai sebuah militia dikenali sebagai “Popular Forces”, yang beroperasi di kawasan di bawah kawalan ketenteraan Israel dan bergerak dengan kebebasan luar biasa berhampiran kedudukan tentera Israel.

Kumpulannya menerima senjata yang dirampas daripada simpanan kumpulan penentang. Militia itu menjadi sebahagian daripada projek lebih luas yang diawasi oleh agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Bet, yang bertujuan membentuk kumpulan bersenjata tempatan bagi menjalankan operasi di kawasan yang sukar dimasuki tentera Israel.

Militia berkenaan ditugaskan untuk mengekalkan kawalan Israel di kawasan tertentu, mengumpul maklumat, serta melemahkan pengaruh kumpulan penentangan.

Di Gaza, pasukan Abu Shabab sering dituduh menyalahgunakan akses istimewa mereka di kawasan kawalan Israel untuk merompak bantuan kemanusiaan, menghalang pengagihannya, serta mengugut dan membunuh orang awam.

Testimoni yang dikumpul oleh wartawan Palestin dan petugas bantuan menggambarkan corak sistematik di mana anak buahnya didakwa memintas trak bantuan, merampas bekalan, serta menjual atau mengalihkannya, sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Rafah dan kawasan sekitarnya.

Penilaian dalaman PBB, yang kemudian dipetik oleh The Washington Post, mengenal pasti Abu Shabab sebagai  pemimpin utama dalam rangkaian yang bertanggungjawab terhadap kecurian bantuan berskala besar semasa pembunuhan beramai-ramai itu.

Laporan media Israel kemudiannya mendedahkan bahawa projek militia tersebut telah mendapat kelulusan di peringkat tertinggi, termasuk oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan Yisrael Katz dan Ketua Turus Eyal Zamir.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img