Pengurus, operator kilang sawit ditahan susulan cemar Sungai Sayong

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor menahan pengurus dan operator sebuah kilang kelapa sawit semalam susulan pencemaran di Sungai Sayong, Kampung Orang Asli Sayong Pinang dekat Kota Tinggi dua hari lepas.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 37(C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, lapor Bernama.

Beliau berkata penahanan dilakukan hasil penelusuran rangkaian siasatan dan penjejakan air sepanjang alur sungai yang sekiranya berjayanya mengesan punca pencemaran disyaki daripada kilang yang beroperasi di kawasan Layang-Layang, Kluang itu.

“Penahanan ini bagi membolehkan siasatan rapi dilengkapkan sebelum pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah. JAS Johor menegaskan tiada kompromi terhadap jenayah alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan teknikal di premis menemui bukti pelanggaran serius apabila terdapat kegagalan pada sistem pengolahan efluen premis.

Pemeriksaan mendapati struktur ‘trump’ (saluran efluen) dalam kawasan premis telah pecah, menyebabkan efluen mentah terlepas keluar dan mengalir terus ke punca air, seterusnya mengakibatkan pencemaran sungai yang menjejaskan penduduk setempat.

Susulan itu, Mohd Famey berkata JAS mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis terbabit dan menggantung lesen sehingga kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya.

“Langkah ini bertujuan menghentikan serta merta operasi kelengkapan yang menyebabkan pencemaran tersebut dan memastikan pematuhan sepenuhnya oleh pihak premis,” katanya.

Beliau memberi peringatan kepada pihak industri agar sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen berfungsi dengan baik dan mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata kecuaian dalam menguruskan sisa buangan industri bukan sahaja merosakkan ekosistem sungai, malah menjejaskan kualiti hidup masyarakat setempat.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau menerusi emel e-aduan_k@doe.gov.my dan portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Ahad lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti Hasrin Hashim dilaporkan berkata JAS dan Jabatan Perikanan sedang menyiasat insiden sungai berkenaan yang bertukar gelap kehitaman, selepas menerima aduan penduduk berhubung kesannya terhadap alam sekitar dan sumber perikanan setempat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img