SEORANG peniaga kerugian hampir setengah juta ringgit akibat ditipu sindiket tawaran kerja sambilan yang dipromosikan melalui Facebook sejak Ogos lalu.
Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 61 tahun sebelum itu dihubungi individu yang menyamar sebagai wakil platform e-dagang sebelum diberikan satu pautan palsu untuk mendaftar sebagai penjual.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian diarahkan menjalankan aktiviti kerja sambilan dengan memilih beberapa jenis produk yang kononnya boleh dijual ke pasaran Eropah.
“Mangsa dimaklumkan bahawa kos barangan perlu ditanggung terlebih dahulu dan akan menerima komisen keuntungan sebanyak 30 peratus bagi setiap produk yang berjaya dihantar kepada pelanggan.
“Lelaki itu seterusnya telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun suspek bagi tujuan pembelian barangan berjumlah lebih RM505,000 menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan simpanan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada peringkat awal mangsa menerima keuntungan lebih RM8,303 melalui tiga transaksi, sekali gus meyakinkan lelaki itu untuk membuat pembayaran seterusnya.
Namun, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan secara berterusan kononnya bagi tujuan yuran serta melengkapkan proses pelepasan dana sebelum keuntungan boleh diterima.
“Selepas bayaran dibuat, keuntungan seterusnya gagal diterima selain dana yang dijanjikan tidak dilepaskan dan mangsa akhirnya mengesyaki telah diperdaya selepas mengalami kerugian RM496,000,” katanya.
Berikutan itu Yahaya memberitahu, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


