Peniaga sengaja langgar doktor di laluan RFID plaza tol ditahan reman

SEORANG lelaki yang dipercayai melanggar seorang doktor dengan kereta di lorong RFID Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Perai pada Ahad lalu direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Suspek yang merupakan seorang peniaga berusia 31 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bersama isterinya yang berusia 25 tahun pagi ini bagi permohonan perintah reman.

Kedua-dua mereka dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna ungu sambil diiringi anggota polis.

Perintah reman telah dikeluarkan Majistret Savinder Singh bermula hari ini sehingga 3 Januari depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan reman terhadap isteri suspek.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki cedera dilanggar kereta di sebuah plaza tol di Butterworth selepas meminta pemandu berkenaan mengundur ketika kenderaan dipandu isterinya ‘tersekat’ di laluan RFID pada jam 11.30 malam Ahad lalu.

Isteri mangsa yang berusia 31 tahun kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Seberang Perai Tengah berhubung kejadian berkenaan.

Wanita itu dalam laporannya berkata, suaminya keluar dari kenderaan mereka dan meminta kereta di belakangnya mengundur supaya beliau dapat mengundur keluar dari laluan RFID itu selepas mendapat amaran tag tidak sah.

Bagaimanapun, pertengkaran tercetus antara dua lelaki berkenaan.

Menurut isterinya, pada ketika itu, tiba-tiba kereta tersebut telah melanggar suami dan keretanya. Katanya, kereta itu kemudian terus meninggalkan tempat kejadian.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dilanggar sebuah SUV jenis Proton X70 di sebuah plaza tol dipercayai di Lebuhraya BORR dekat Perai.

Video berdurasi 26 saat itu memaparkan kenderaan tersebut diundur sebelum mangsa dilanggar dari arah depan.

Kenderaan itu kemudiannya dilihat menukar laluan ke lorong tol di sebelah kanan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img