JENAYAH penipuan dalam talian dilihat semakin berleluasa. Terbaharu, seorang pengusaha restoran di Jerantut, Pahang kerugian RM783,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.
Mangsa, lelaki berusia 30 tahun dikatakan terpengaruh dengan iklan pelaburan saham Nexispeak Global yang dibaca dalam media sosial pada 17 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, selepas menyertai iklan itu, mangsa dihubungi oleh suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan memperkenalkan diri sebagai Christy.
“Suspek menawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan harian antara RM550 hingga RM600 dengan kadar keuntungan sehingga 85 peratus.
“Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi dinamakan WHG Roup kononnya bagi memantau transaksi dan perkembangan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, tanpa menyedari ditipu, mangsa telah membuat sebanyak 23 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza, antara 20 Oktober hingga 7 Disember lalu.
Jelasnya, namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan wang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan atas alasan bayaran tambahan.
“Mangsa kemudian mula menyedari dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.
“Sumber kewangan mangsa adalah melibatkan wang simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga, hasil jualan barang kemas serta lebihan bayaran dua buah rumah,” katanya.
Sehubungan itu, Azry Akmar menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
Tambah beliau, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.


