SEORANG peniaga daging perap maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Ayer Molek, Melaka tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Adib Haikal Abdul Razlan, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori dipandu lelaki berusia 56 tahun sedang memperlahankan kenderaan untuk membelok ke Lorong Qobiah.
”Lori berkenaan dilaporkan telah memberikan isyarat dan berhenti seketika sebelum memasuki lorong di sebelah kiri jalan.
Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rempuhan yang kuat menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat, katanya.
Beliau memberitahu, polis kini menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.


