SEORANG penumpang kereta putus kepala selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Taman Permata Impian, Jalan Felda Taib Andak, Kulai malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.36 malam.
Beliau berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera fire rescue tender dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan tiba di tempat kejadian yang terletak pada jarak enam kilometer daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kulai.
“Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah Honda City merempuh sebuah lori lima tan jenis Hino yang diletakkan di tepi jalan.
Pemandu kereta, seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan, orang awam mengeluarkan mangsa dari kereta sebelum anggota bomba tiba.
“Penumpang di bahagian hadapan tersepit dan maut.
“Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk terputus kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.


