SEORANG lelaki warganegara India berusia 31 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan di KM 12.1 Lebuhraya NPE dari arah Bangsar menghala ke Petaling Jaya, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa menaiki motosikal jenis Honda EX5 dan tidak memiliki lesen memandu sebelum kenderaannya terbabas di bahagian tengah lebuh raya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, beliau meminta saksi-saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur di talian 017-9732731.


