Peranan Kementerian Perpaduan Negara mengekang provokasi terhadap integrasi nasional

 

Ini bukanlah pertama kali saya menulis bab integrasi nasional yang melibatkan wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai sebuah negara bernama Malaysia.

Sebagai generasi yang terdidik menerusi program  Ikon Pelajar Integrasi Nasional (batch 1988), anjuran Kementerian Perpaduan dan Kementerian Pelajaran serta berpengalaman langsung mengisi pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak sejak tahun 2009 hingga kini, jiwa saya akan tersentuh dengan apa juga situasi yang berkaitan nilai integrasi nasional (sama ada baik atau buruk).

Namun kebelakangan ini, saya melihat sentimen prejudis antara wilayah yang menjadi modal politik sudah masuk ke fasa yang sangat berbahaya untuk dibiarkan.

Kita harus menerima hakikat bahawa situasi sebenar politik di negara kita hari ini bukanlah begitu kukuh dan bersifat solid. Sokongan penubuhan kerajaan bukannya atas kekuatan majoriti tetapi kerelaan dalam perbezaan ideologi. Maka sebab itulah cabar-mencabar masih berlaku walaupun tidur dalam satu selimut.

Tabiat semulajadi orang politik seluruh dunia ialah menghalalkan apa juga cara untuk meraih sokongan dan yang penting dapat berkuasa, biarpun terpaksa membayar harga yang buruk akibat tindakan mereka.

Bagi saya, menyuarakan apa juga rasa tidak berpuas hati dengan kehendak wilayah adalah  tidak salah sama sekali tetapi apabila sampai ke tahap mengugut untuk memisahkan Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung bolehlah dianggap sebagai ancaman keharmonian perpaduan dan integrasi nasional yang juga pada tahap ‘melampau’.

Sentimen anti Malaya ini bukanlah baharu tetapi api yang disemarakkan sejak kebelakangan ini akan menjadi bertambah bahaya kerana teknologi media sosial zaman AI akan memburukkan lagi keadaan.

Jika 40 tahun lalu, kami remaja sekolah yang menjadi ikon pilihan integrasi  nasional disatukan selama dua minggu di Kem Ayer Keroh, Melaka dengan doktrin kecintaan terhadap negara melalui penyatuan belia semenanjung, Sabah dan Sarawak, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk membenci atau anti satu sama lain.

Malah azam saya untuk merapatkan jalinan muhibah ketiga-tiga wilayah ini akhirnya menjadi kenyataan melalui pelbagai kegiatan sosioekonomi sejak dulu hingga kini.

Ketika itu bukan tidak ada juga bibit-bibit permusuhan yang dicetuskan akibat kacau-ganggu politik tanahair tetapi dasar berkaitan integrasi nasional diperkukuhkan dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi idealisme politik.

Kerjasama ekonomi komuniti Kota Belud, Labuan dan Semenanjung sejak tahun 2024 yang sedang berjalan hingga kini..

Pada zaman ledakan ICT sekarang, semua pihak perlu bekerja dengan lebih kuat dan bijak untuk mengekang kesan buruk doktrin anti wilayah dan apa jua sentimen seumpamanya kerana senjata yang digunakan lebih cepat merebak dan semakin tidak terkawal pada masa hadapan.

Dalam mana-mana negara dunia, konflik pemisahan wilayah berlaku apabila pertikaian hak dimulakan sehingga membawa kepada pemberontakan yang sukar dikawal. Api yang dibakar oleh pemimpin politik sendiri akan diambil kesempatan oleh anasir luar yang sentiasa berniat jahat untuk memenuhi agenda mereka.

Situasi ketegangan geopolitik hari ini menjadikan kita sangat rapuh untuk disusup masuk oleh anasir luar tanpa kita sedari.

Di sinilah saya mengulangi pendirian saya bahawa Kementerian Perpaduan Negara (KPN) perlu segera bergerak pro-aktif dengan berani dan bijaksana melaksanakan pengisian yang bersifat game changer, quick-win, quantum leaps, big, bold and fast.

Tidak dinafikan KPN sendiri adalah terikat dengan kerajaan semasa yang memerintah dan mungkin sukar untuk melakukan pencapaian luar biasa. Maka di sinilah pihak ketiga seperti NGO dan kami yang berpengalaman perlu dilibatkan dengan libat urus yang banyak dan berkesan.

Gerak kerja asimilasi bukan sahaja perlu dilakukan dengan kepelbagaian aktiviti tetapi juga bersifat meluas supaya seluruh peringkat rakyat dapat dikuasai pemikiran, jatidiri dan jiwa yang menyayangi semangat Malaysia yang terasas sejak dulu.

Tanggapan buruk seolah-olah kerajaan pusat menganiaya orang Sabah dan Sarawak perlu ditangkis dengan bijaksana kerana selama ini kita memang memegang tugas dan semangat Malaysia sejak tahun 1963.

Setelah terlibat hampir 20 tahun dengan pemimpin dan masyarakat di Sabah dan Sarawak,  saya menyaksikan gelagat orang-orang politik di sana yang adakalanya melucukan.

Saya masih ingat pengalaman peribadi saya ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri apabila BN hilang 5 negeri di Semenanjung dalam PRU-12, ada pemimpin politik BN di Sabah dan Sarawak mula memainkan isu MA63 dan macam-macam lagi sebelum Kabinet baru Pak Lah ditubuhkan.

Kami yang sedang membantu meredakan keadaan pergi bertanya kepada ahli parlimen BN Sabah dan Sarawak  tentang tujuannya memainkan isu tersebut. Pusing-pening cerita, akhirnya dia hanya mahu jawatan sekurang-kurangnya Timbalan Menteri.

Maka Pak Lah bagi dia jadi Timbalan Menteri. Senyap terus tentang perjuangan Sabah. Malah jadi ‘pejuang’ nombor satu mempertahankan Malaya bila ada isu berkaitan pertikaian antara Semananjung dan  Sabah.

Namun sebelum beliau meninggal dunia, rasanya dia telah berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula apabila tidak dilayan oleh UMNO Sabah selepas tidak memegang jawatan Timbalan Menteri.

Seorang lagi sahabat saya yang dulu sebelum bergelar wakil rakyat, duduk di rumah teres kecil di kampung tetapi akhirnya memiliki banglo mewah dan beristeri ramai setelah bergelar YB.

Seringkali saya mendengar rasa tidak puas hati bab peruntukan kerajaan pusat tetapi semasa saya membantu berkempen dalam PRU-13, saya terkejut apabila saya disambut para pengundi kerana mereka tidak kenal calon wakil rakyat sebenar iaitu kawan saya ini  yang sudah dua penggal sebelum itu menjadi YB mereka. Kenapa? Hanya muncul semasa pilihan raya.

Akhir sekali saya juga tidak lupa apabila saya menegur seorang pemimpin besar yang memainkan sentimen anti Malaya dalam ceramahnya, sedangkan beliau amat kaya raya dan keluarganya ‘menyapu apa sahaja yang boleh disapu’.

Sambil tersenyum sinis beliau berkata kepada saya:

“ Inilah politik kami di Borneo ini. Kutuk Malaya adalah kesukaan pengundi di sini. Itulah politik kami ” katanya tanpa rasa bersalah.

Akhirnya, pemimpin itulah juga yang menggemparkan negara bila dihadapkan ke mahkamah oleh SPRM.

Ketika Tan Sri Joseph Kurup menjadi Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, saya berpeluang membuat tinjauan lapangan dan mengadakan pelbagai projek rintis kepelbagaian aktiviti perpaduan dan integrasi nasional di seluruh negara sekitar tahun 2015-2016.

Dapatan kami membolehkan kami mengesyorkan pelan tindakan dan pengisian yang lebih proaktif dengan pendekatan yang lebih cepat, cekap, jimat dan berkesan.

Kami pernah mengingatkan kerajaan ketika itu tentang kegagalan bertindak segera akan memberi kesan buruk pada masa hadapan termasuk politik dan ekonomi negara.

Seperti biasa, bukan mudah mengubah mentaliti mereka yang berkuasa dan pegawai yang bekerja untuk berubah dengan pemikiran dan gerak kerja baru.

Hasrat tidak kesampaian. Namun kesannya, BN bukan sahaja tumbang pada PRU 14, bahkan pelbagai penyakit hubungan integrasi dan ekonomi semakin meresahkan pada hari ini. Saya tidak hairan kerana sudah meramalkannya dulu.

Mungkin saya juga tidak terkejut situasi yang lebih buruk akan berlaku pada masa hadapan. Saya bukan berfikiran negatif, sebaliknya lebih realistik dan tidak retorik. Sepanjang zaman, saya biasa mendengar pelbagai pelan perpaduan baru dilancarkan terutama bila bertukar Menteri atau ketua jabatan tetapi Malaysia is good on paper but lack execution.

Saya sudah menyampaikan mesej ini kepada Menteri, KSU dan semua pegawai tertinggi KPN supaya suatu hari nanti saya tidak perlu bersedih atau rasa bersalah kerana saya sudah berusaha melakukan yang terbaik…Randau Demi Negara.

NORDIN ABDUL MALEK – Asuhan Pelajar Integrasi Nasional KPM/KPN, Batch Tahun 1988.

  • Penulis adalah penganalisis  sosioekonomi

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img