Perdasama hargai komitmen kerajaan umum naikkan ambang pengecualian e-invois

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menyambut baik pengumuman kerajaan menaikkan ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun depan yang dilihat sebagai satu keputusan berasaskan realiti di lapangan.

Persatuan menyifatkan langkah proaktif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dianggap dalam usaha meringankan beban perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya usahawan bumiputera yang sedang berdepan cabaran ekonomi semasa.

Presiden Perdasama, Mohd Azamanizam Baharon berkata, langkah ini bakal memberikan ruang bernafas kepada ribuan PMKS yang masih dalam proses menstabilkan aliran tunai, menambah baik system perakaunan, serta meningkatkan kesiapsiagaan digital mereka.

“Keputusan ini juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara berperingkat tanpa membebankan perniagaan kecil.

“Perdasama turut menghargai komitmen kerajaan menangani isu kelewatan pembayaran balik cukai yang telah lama memberi tekanan kepada PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar ketika berucap di Kota Kinabalu, Sabah semalam mengumumkan kenaikan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula 2026 sebagai langkah mengurangkan beban syarikat kecil dan sederhana.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar secara langsung rungutan peniaga kecil mengenai kos melaksanakan sistem itu.

 

Menurut Mohd Azamanizam, pengumuman Perdana Menteri untuk meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember ini adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan perniagaan kecil tidak terus terjejas akibat kelewatan yang menjejaskan modal pusingan mereka.

Katanya, langkah pembetulan segera ini amat penting bagi memperkukuh keyakinan PMKS terhadap ekosistem kewangan negara.

Sebagai sebuah badan mewakili 27,000 ahli PMKS bumiputera di seluruh negara, Perdasama katanya, melihat pengumuman ini sebagai satu isyarat jelas bahawa kerajaan komited memastikan kelangsungan perniagaan tempatan dan meningkatkan daya saing industri kecil dan sederhana.

“Perdasama juga bersedia untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan maklum balas dari lapangan, memperkukuh program pembangunan usahawan, dan memastikan suara komuniti perniagaan kecil terus diberi perhatian dalam perancangan dasar negara.

“Persatuan ini percaya langkah-langkah ini akan membantu memulihkan keyakinan usahawan, menggalakkan pertumbuhan perniagaan secara mampan, dan membuka ruang kepada lebih banyak peluang ekonomi dalam tempoh pemulihan dan ketidaktentuan global masa kini,” jelas beliau.

Beliau turut menyokong inisiatif rasionalisasi bersasar, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan keprihatinan terhadap kesan ke atas daya tahan ekonomi usahawan bumiputera dan PKS seluruh negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img