”Kumpulan itu mengenakan bayaran antara $1,500 (RM6,233) hingga $2,700 (RM11,220) seorang dan mendakwa menawarkan penerbangan pemindahan “selamat” ke negara seperti Afrika Selatan, Indonesia, dan Malaysia.” – Lapor Quds News Network
SEBUAH organisasi “tidak berdaftar dan mengelirukan” yang disokong Israel didakwa memudahkan pembersihan etnik rakyat Palestin dari Gaza dengan mengatur perjalanan mereka keluar dari wilayah yang dilanda perang itu.
Laporan mengesahkan kumpulan tersebut beroperasi dengan kerjasama pihak berkuasa Israel, termasuk sebuah unit yang ditugaskan untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa dari Gaza.
Pada Isnin, Al-Hares, sebuah platform keselamatan yang berkaitan dengan gerakan penentangan, mengesahkan bahawa “Al-Majd Europe” sedang menjalankan satu skim yang mengeksploitasi krisis kemanusiaan di Gaza.
Mereka mempromosikan tawaran palsu mengenai pemindahan atau “laluan selamat” untuk mendapatkan data peribadi orang awam bagi tujuan pengintipan, lapor Quds News Network.
Al-Hares berkata pemantauan keselamatan Palestin mendapati entiti tersebut dikendalikan oleh individu yang mempunyai hubungan langsung dengan pihak berkuasa Israel dan berfungsi sepenuhnya di luar rangka kerja rasmi.
Al-Hares telah mengeluarkan amaran tegas kepada penduduk Gaza, melarang mereka berkomunikasi dengan organisasi itu atau memberikan sebarang maklumat atau dokumen peribadi.
Ia mengingatkan “sebarang urusan dengan pihak tidak rasmi berkaitan perjalanan atau pemindahan menimbulkan ancaman langsung terhadap keselamatan diri dan masyarakat secara keseluruhan.”
Organisasi itu sedang memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza di bawah alasan “migrasi sukarela”, menurut testimoni dan maklumat yang diperoleh oleh Quds News Network.
Ia juga mendapati bahawa skim itu menyasarkan keluarga yang terdesak berdepan perang, kepungan, dan kelaparan. Kumpulan itu mengenakan bayaran antara $1,500 (RM6,233) hingga $2,700 (RM11,220) seorang dan mendakwa menawarkan penerbangan pemindahan “selamat” ke negara seperti Afrika Selatan, Indonesia, dan Malaysia.
Akhbar Israel Haaretz melaporkan ”Al-Majd Europe” diketuai seorang lelaki yang memiliki dua warganegara Israel-Estonia, bernama Tomer Janar Lind. Akhbar itu berkata, Lind pernah bekerja dengan sebuah unit dalam tentera Israel yang bertanggungjawab terhadap pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Unit itu yang dinamakan Biro Migrasi Sukarela, ditubuhkan pada awal 2025 di bawah Kementerian Pertahanan Israel untuk melaksanakan dasar mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Menurut laporan Haaretz, Lind tidak menafikan mengatur penerbangan untuk rakyat Palestin tetapi enggan memberikan maklumat lanjut.
Laporan media berhubung kegiatan tersebut semakin meningkat selepas sebuah pesawat sewaan yang membawa 153 rakyat Palestin dari Gaza mendarat di sebuah lapangan terbang berhampiran Johannesburg.
Ketibaan pesawat itu mengejutkan pihak berkuasa Afrika Selatan kerana ramai antara mereka tidak mempunyai dokumen lengkap sedangkan dikenakan bayaran tinggi oleh organisasi berkenaan, yang menyatakan di laman webnya bahawa ia menyelaras “pemindahan dari zon konflik”.
Kedutaan Palestin di Afrika Selatan dalam satu kenyataan berkata, penerbangan itu diatur oleh “sebuah organisasi yang tidak berdaftar dan mengelirukan yang mengeksploitasi keadaan kemanusiaan tragis rakyat kami di Gaza, memperdaya keluarga, mengutip wang daripada mereka, dan memudahkan perjalanan mereka secara tidak teratur dan tidak bertanggungjawab.”


