SEBANYAK 5.5 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih tertunggak yang menyebabkan pemilik kenderaan berisiko disenarai hitam jika gagal membayar sebelum 30 Disember depan.
Saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah Notis JPJ (P) 22 iaitu sebanyak 3,685,164 saman tertunggak, diikuti kompaun melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (1,387, 384); Notis 114 (297, 382 saman) Notis 115 (161,669) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 sebanyak 6,409 saman.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertunggak diberi tempoh sehingga 30 Disember ini untuk melunaskan semua kompaun berkenaan sebelum pelarasan kadar kompaun bagi kesalahan lalu lintas antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polisi Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan bermula 1 Januari depan.
Beliau berkata, mereka diberikan tempoh dua bulan bermula 1 November lalu untuk membayar semua saman tertunggak, dengan diskaun sebanyak 50 peratus.
Katanya, selepas tamat tempoh berkenaan, JPJ akan melaksanakan tindakan mahkamah dan senarai hitam terhadap mana-mana pihak yang tidak melunaskan saman tertunggak berkenaan.
“Selepas 1 Januari 2026 kalau masih ada saman tertunggak yang belum dijelaskan seperti yang ada pada hari ini, Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta lesen memandu boleh disenarai hitam.
“Maksudnya, mereka tidak boleh memperbaharui LKM mereka dan ini akan diintegrasikan dalam sistem MySikap,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan sambutan Deepavali kementeriannya di Putrajaya hari ini, lapor Harian Metro.
Pada masa sama, Loke berkata, penetapan diskaun sebanyak 50 peratus berbanding 70 peratus bagi saman dikeluarkan PDRM adalah bagi berlaku adil kepada mana-mana pesalah yang sudah membayar saman pada kadar potongan 50 peratus sebelum ini.
“Sejak awal tahun ini, kita telah bagi satu kadar kompaun 50 peratus bagi kesalahan-kesalahan di bawah AwAS iaitu perangkap kelajuan.
“Jadi kalau sekarang kita tawarkan 70 peratus adalah tidak adil kepada mereka yang sudah bayar, jadi kita kekalkan dengan 50 peratus.
“Bezanya, sebelum ini diskaun 50 peratus ini hanya untuk tiga jenis saman iaitu AwAS dan juga Notis 114 dan 115,” katanya.


