PGA rampas rokok putih seludup RM320,000 dalam stor rumah teres

BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan taktik satu sindiket yang menjadikan rumah sebagai stor simpanan  rokok seludup dalam serbuan Op Taring Alpha 1 di Bandar Parklands, Klang pada Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu, PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an dan merampas 750 karton rokok putih dipercayai tidak memiliki cukai kastam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata, serbuan dibuat hasil maklumat risikan oleh Cawangan Perisikan Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata, suspek yang ditahan dalam serbuan itu merupakan  pekerja yang mengedar rokok seludup bagi pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor.

“Pemeriksaan ke atas sebuah rumah teres di lokasi terbabit menemukan sejumlah 750 karton rokok putih dipercayai tidak memiliki cukai kastam yang dianggarkan bernilai RM320,000.

“Rumah teres itu dijadikan stor simpanan sebelum rokok seludup diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang dan Selangor menggunakan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran rokok seludup berkenaan.

“Suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu usaha membanteras kegiatan penyeludupan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img