PELBAGAI taktik digunakan sindiket penyeludupan dadah termasuk menggunakan helah menyembunyikan barang larangan itu dalam pakaian dalam.
Bagaimanapun percubaan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an itu gagal apabila tindakannya itu dikesan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 20 November lalu.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu memasukkan dadah ke dalam kondom sebelum disorokkan di bahagian sulit tubuh dan dimasukkan ke dalam seluar dalam.
Namun, taktik tersebut gagal mengaburi pihak berkuasa apabila anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang melakukan pemantauan mengesyaki pergerakannya di kawasan Gateway, aras tiga balai pelepasan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan fizikal terhadap suspek membawa kepada penemuan 22 ketulan dan dua botol heroin seberat 400 gram serta dua bungkus plastik methamphetamine seberat tujuh gram.
Beliau berkata, susulan penahanan suspek pertama, polis melancarkan serbuan di sebuah apartmen di Bukit Jalil.
“Dalam serbuan di apartmen itu, empat individu berjaya ditahan, terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing.
“Siasatan mendapati suspek kedua berperanan sebagai koordinator sindiket; suspek pertama, ketiga dan kelima sebagai rakan sekutu, manakala suspek keempat dipercayai menjadi transporter,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuala Selangor hari ini, lapor Sinar Harian.
Hussein berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 407 gram dengan nilai dianggarkan RM38,000.
Katanya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak hujung Disember lalu dengan modus operandi menyembunyikan dadah pada tubuh badan untuk diseludup keluar negara.
Tambah beliau, hasil ujian saringan awal mendapati kesemua suspek berusia 40 hingga 50 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.


