POLIS sedang memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel di sekitar Seksyen 3 Shah Alam baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan diterima daripada seorang saksi berusia lingkungan 30-an yang juga penduduk sekitar lokasi kejadian.
“Kejadian itu disedari berlaku kira-kira jam 5 pagi Jumaat lalu apabila saksi yang ketika itu sedang tidur terkejut apabila terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Saksi itu kemudian bangun dan ternampak sekumpulan lelaki tidak dikenali sedang memotong kabel. Saksi cuba mengekori suspek namun diberikan amaran.
“Suspek juga dikatakan berpatah semula dan cuba mengejar saksi sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramsay, polis percaya kumpulan itu aktif dan mahir mencuri kabel bagi mendapatkan besi tembaga berdasarkan cara mereka melakukan kegiatan dengan mengorek lubang kabel dan menariknya keluar sebelum memotongnya di tempat yang sunyi.
Katanya, usaha mengesan dan suspek sedang giat dijalankan, manakala nilai kerugian masih dalam siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 0111-665 2402 bagi membantu siasatan.
“Polis turut menggesa orang awam sekiranya menemui individu mencurigakan atau sebarang aktiviti mencuri kabel agar segera menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan kejadian itu tular dalam media sosial.
Rakaman berkenaan menunjukkan beberapa lelaki yang identitinya belum dikenal pasti menggunakan beberapa kenderaan termasuk pacuan empat roda untuk menjalankan kegiatan terbabit.


