Polis buru suspek cederakan pemandu, rosakkan kenderaan di Jasin

POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai bertindak agresif sehingga mencederakan seorang pemandu serta merosakkan kenderaan mangsa dalam kejadian perselisihan di Kampung Bukit Senggeh, Selandar dekat Jasin, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada 26 Mac lalu kira-kira jam 3.34 petang di tepi jalan kawasan tersebut sebelum video insiden itu tular di media sosial sejak semalam.

Menurutnya, Balai Polis Selandar menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang mendakwa dipukul seorang lelaki yang naik angin selain kenderaannya turut dirosakkan individu tidak dikenali itu.

“Berdasarkan siasatan kejadian dipercayai berlaku apabila pengadu menyedari sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru yang ditunggang seorang lelaki berada di belakang kenderaannya dalam keadaan mencurigakan, seolah-olah hampir hilang kawalan.

“Ketika suspek memotong di sebelah kanan, pengadu membuka tingkap dan menegur lelaki berkenaan. Namun teguran itu menyebabkan suspek didakwa marah dan tidak berpuas hati sebelum berpatah balik ke arah kenderaan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, lelaki terbabit bertindak menendang pintu bahagian pemandu serta memukul pintu dan cermin tingkap kereta menggunakan topi keledar sebanyak tiga hingga empat kali.

“Pengadu kemudian keluar dari kenderaannya namun turut terkena hayunan topi keledar pada lengan kanan dan mengalami luka melecet,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kenderaan pengadu mengalami kerosakan selain individu itu turut cedera.

“Isteri pengadu yang berada dalam kenderaan bersama anak-anak sempat merakam kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun rakaman tidak begitu jelas kerana mereka berada dalam keadaan cemas,” katanya lagi.

Jelasnya, wajah suspek dipercayai kelihatan dalam rakaman berkenaan, namun semakan melalui sistem pengecaman wajah tidak menemui sebarang padanan setakat ini.

“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan disahkan mengalami luka melecet pada lengan kanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Ainul Shahirah Shaharuddin di talian 012-467 1531 atau 06-529 2222 (sambungan 378), atau mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img