Polis giat mengesan tiga suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah dan melarikan sebuah peti besi bernilai kira-kira RM2 juta di Taman Hillview, Hulu Klang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, suspek dilihat memikul satu objek disyaki peti besi sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian itu disedari selepas satu laporan polis dibuat pada 26 Disember lalu oleh seorang wanita tempatan yang mendapati pintu belakang bahagian dapur rumah majikannya telah tercabut.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebuah peti besi telah hilang dari bilik tidur utama dengan jumlah kerugian dianggarkan RM2 juta.
“Berdasarkan kepada maklumat diperolehi, seramai lima orang lelaki dan seorang perempuan warga asing telah ditahan bagi membantu siasatan. Namun, semua suspek yang ditangkap tidak terlibat dalam kes yang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek terlibat masih dikesan.


