Polis kesan beberapa madrasah di Kelantan jadi lokasi pengubahan wang haram

‘’Ada yang sanggup memberi sumbangan hingga jutaan ringgit dengan alasan melabur untuk saham akhirat.’’ – Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

BEBERAPA madrasah di Kelantan dikesan menjadi lokasi kegiatan pengubahan wang haram melibat sumbangan jutaan ringgit daripada pihak luar termasuk pengasas produk.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berpandukan pada maklumat diterima dan pemantauan yang sedang dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Beliau berkata hasil semakan mendapati sebahagian besar madrasah, pondok dan pusat tahfiz di negeri ini tidak berdaftar dengan MAIK, sekali gus menimbulkan kebimbangan wujudnya aktiviti tidak sihat di sebalik operasi mereka.

“Berdasarkan maklumat, lebih kurang separuh daripada madrasah dan pondok di Kelantan tidak berdaftar dengan MAIK.

Apabila tidak berdaftar, kita bimbang tempat ini disalah guna untuk kegiatan seperti pengubahan wang haram dan sebagainya,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian seleps Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu.

Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya menerima maklumat ada individu bergelar ‘founder’ termasuk dalam dan luar Kelantan datang ke negeri ini kononnya untuk menderma kepada institusi agama dengan harapan mendapatkan doa dan keberkatan.

Beliau berkata, ada yang sanggup memberi sumbangan hingga jutaan ringgit dengan alasan melabur untuk saham akhirat.

“Namun kita bimbang jika niat baik itu dieksploitasi oleh pihak tertentu yang menjadikan madrasah sebagai saluran untuk aktiviti pengubahan wang haram.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan pusat pengajian agama tersebut dalam aktiviti terbabit,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesebuah madrasah, pondok atau tahfiz sebelum menyalurkan sumbangan.

“Pastikan juga guru yang mengajar di situ memiliki tauliah bagi mengelakkan penyalahgunaan gelaran ustaz atau wali yang boleh menyelewengkan ajaran agama,” katanya.

Kata Mohd Yusoff, polis akan terus bekerjasama dengan MAIK dalam memantau bukan sahaja isu pengubahan wang haram, tetapi juga kemungkinan berlakunya ajaran sesat dalam kalangan pusat pengajian agama tidak berdaftar di negeri ini.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img