POLIS Kuala Lumpur mengesan cubaan sabotaj terhadap Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung petang esok di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan dalam laman sosial rasminya, Polis Kuala Lumpur memaklumkan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah mengedarkan e-mel palsu kepada jemputan kononnya program itu dibatalkan.
“Terdapat unsur sabotaj oleh individu yang tidak bertanggungjawab cubaan untuk menggagalkan Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur 1447H/2025M.
“Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur menafikan sekeras-kerasnya berkenaan hebahan berita 𝗣𝗔𝗟𝗦𝗨 tersebut.
“Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur 1447H/2025M akan berlangsung sepertimana yang telah dijadualkan.
“Oleh itu, Polis Kuala Lumpur menjemput orang ramai untuk hadir bersama-sama bagi meriahkan program ini dan orang ramai juga boleh mengikuti program ini secara atas talian melalui laman Facebook Rasmi Polis KL dipautan http://facebook.com/PolisKL,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan program berkenaan mulai pukul 5.15 petang sehingga selesai majlis.


