Polis KL serbu 97 premis, tahan 1,070 individu terlibat sindiket penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu

POLIS Kuala Lumpur telah menahan seramai 1,070 individu dalam serbuan ke atas 97 pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di ibu negara, sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 600 individu adalah warga tempatan manakala 470 lagi membabitkan warga asing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan melibatkan beberapa premis kediaman yang dijadikan pusat panggilan operasi penipuan dalam talian.

“Sepanjang operasi itu, polis turut merampas sebanyak 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa, selain wang tunai berjumlah RM5.06 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadil, operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertujuan membanteras kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua individu yang ditahan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk penipuan tawaran pekerjaan, pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud serta aktiviti penipuan lain.

“Kesemua tangkapan telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran dokumen perjalanan melibatkan tangkapan warga asing,” katanya.

Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur akan mempergiatkan operasi secara berterusan bagi memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img