Polis lancar Ops Dadu Mega serentak seluruh negara,85 individu ditahan

SERAMAI  85 individu ditahan dalam siri serbuan Op Dadu Mega yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)  secara serentak di seluruh negara antara Sabtu lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tangkapan membabitkan 62 lelaki dan 23 wanita yang dipercayai berperanan sebagai operator serta pegawai khidmat pelanggan.

“Daripada jumlah itu, 47 adalah warga tempatan manakala 38 lagi warga asing. Polis turut merampas pelbagai peralatan seperti komputer, tablet dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi itu dilancarkan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama kontinjen negeri dengan tumpuan terhadap kegiatan perjudian dalam talian yang beroperasi secara haram melalui pusat panggilan.

Daripada 21 premis yang diperiksa, polis mendapati 20 premis dijadikan pusat panggilan bagi mengurus dan mempromosikan laman web perjudian yang menyasarkan pelanggan tempatan serta luar negara, termasuk Filipina, China dan Australia.

Sebuah lagi premis pula berfungsi sebagai pusat panggilan bagi aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menyasarkan warga tempatan.

Kumar berkata, kesemua suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah masing-masing untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, sejak 1 Januari hingga semalam, pihaknya telah menyerbu 117 premis yang dijadikan pusat panggilan perjudian dan menahan 713 individu.

“PDRM menegaskan operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen di seluruh negara. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img