PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas sejumlah 78,800 liter minyak diesel yang mencurigakan sumbernya bernilai RM263,980 dalam serbuan di Taman Pasir Putih di Pasir Gudang semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dipercayai penjaga atau pekerja premis tersebut.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati sejumlah besar minyak diesel disimpan di gudang itu di mana terdapat kesangsian terhadap jumlah liter minyak yang direkodkan dalam buku stok.
“Siasatan awal mendapati minyak diesel itu diperoleh melalui pembelian secara sah, namun turut melibatkan pembelian secara runcit dalam kuantiti kecil daripada individu atau sindiket tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azman berkata, taktik itu dipercayai untuk mengaburkan jumlah sebenar stok diesel yang disimpan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen yang sah.
Kesemua minyak diesel dirampas dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.


