POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan kes letupan menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) di kawasan perumahan Desa Palma, Nilai, pada 22 Disember lalu tidak menunjukkan sebarang unsur ekstremisme.
Berdasarkan siasatan awal polis setakat ini, kejadian itu bersifat terpencil dan tidak berkait dengan mana-mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar bagaimanapun berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh.
“Polis mengesahkan bahan yang dirampas mengandungi unsur letupan dengan siasatan kini tertumpu kepada tujuan ia disimpan.
“Selain itu, polis turut menumpukan siasatan sasaran suspek serta kemungkinan pihak lain terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, lapor Bernama.
Dalam kejadian awal pagi 22 Disember lalu, IED meletup di dalam sebuah kenderaan ketika suspek dipercayai cuba mengalihkan peranti tersebut sebelum melarikan diri.
Suspek berusia 62 tahun telah ditahan di Batang Benar, Nilai, dalam keadaan lemah dan cedera melecur selepas dipercayai bersembunyi di kawasan hutan sejak hari kejadian.
Dia ditahan bersama sebuah motosikal serta beberapa IED sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menerima rawatan.
Kumar dalam pada itu berkata, suspek masih ditahan di hospital dan polis sedang menunggu laporan perubatan bagi menentukan keupayaannya memberi keterangan.
“Latar belakang suspek masih dalam siasatan, namun usaha merakam percakapan belum dapat dilakukan kerana lelaki itu masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan dialami,” katanya menambah, suspek direman hingga 3 Januari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis telah merakam keterangan 18 saksi, termasuk orang awam dan pasukan perubatan, untuk membantu siasatan.
“Kita tidak menolak kemungkinan akan ada saksi lain dipanggil untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan ini,” katanya menambah, motif kejadian belum dipastikan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


