Polis siasat video tular pemain bola sepak negara jiran cuba aibkan anggota URB

POLIS sedang menyiasat dakwaan video tular pemain bola sepak dari negara jiran yang menuduh anggota polis meminta wang ketika pemeriksaan dijalankan ke atasnya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan bagi menjalankan siasatan lanjut ekoran daripada penularan beberapa video tersebut.

Menurutnya, video itu membabitkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang menjalankan tugas rondaan semasa kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati rakaman dibuat semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota URB terhadap sebuah kenderaan. Pemeriksaan dilakukan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Semua individu yang diperiksa dilepaskan selepas pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Wan Azlan berkata, siasatan turut mendapati wujud satu lagi video yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan mengaibkan terhadap anggota polis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan atau tuduhan melulu yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menimbulkan kekeliruan awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap PDRM.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil memberikan kerjasama kepada polis melalui talian 03-7862 7100 (Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tular dalam media sosial tindakan seorang pemain bola sepak dari negara jiran yang didakwa cuba memburukkan anggota polis ketika menjalankan tugas sehingga mencetuskan kemarahan warga maya yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadapnya.

Video tular itu memaparkan pemain kelab bola sepak terkemuka negara jiran berkenaan bersama beberapa individu dalam sebuah kereta ketika ditahan polis selepas dipercayai memandu secara melawan arus.

Anggota polis terbabit kemudian dilihat meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri dan pasport, namun kumpulan itu didakwa gagal berbuat demikian sebelum diminta mengemukakan kad pengenalan negara asal.

Anggota polis berkenaan turut menegur supaya membawa pasport ketika berada di negara ini.

Berdasarkan rakaman sama, lelaki berkenaan turut mendakwa anggota polis terbabit menegur mereka supaya tidak memandu melawan arah selain menuduh kononnya anggota polis itu mahu meminta wang.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img