Polis tahan 2 beradik guna senjata api buatan sendiri kutip hutang ahlong

POLIS menahan dua beradik kerana disyaki menggunakan senjata api buatan sendiri untuk kegiatan mengutip hutang bagi pihak sindiket pinjaman wang haram atau ahlong.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok semalam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu laras senapang buatan sendiri, dua pucuk pistol buatan sendiri, dua pucuk pistol tiruan, dua kelopak peluru, satu sarung pistol serta 27 biji caliber powder ramset,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Yusoff berkata, turut dirampas adalah sebuah motosikal dan tiga unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan kutipan hutang itu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengambil upah sebagai pengutip hutang untuk sindiket ahlong di Kelantan dengan menggunakan senjata api dan pistol tiruan bagi menakut-nakutkan penghutang.

“Setakat ini, polis menerima sekurang-kurangnya lima pengakuan awal membabitkan lima kes kutipan hutang ahlong, dengan anggaran hasil kutipan mencecah RM200,000 sejak Oktober 2025,” katanya.

Menurutnya kegiatan itu lebih tertumpu di Bachok dan suspek akan menerima upah daripada mana-mana ahlong yang mendapatkan khidmat mereka.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah serta narkotik,” katanya.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img