POLIS telah menahan seorang wanita yang dilaporkan dalam rakaan video tular `tinggal’ di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dalam tempoh yang agak lama, baru-baru ini.
Wanita terbabit menurut polis disahkan rakyat tempatan dan bukannya warga China seperti dilaporkan dan memiliki kad masalah kesihatan mental.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, wanita itu telah ditahan pada 18 Disember lalu.
“Pemeriksaan mendapati wanita tersebut mempunyai kad masalah kesihatan mental dan tindakan lanjut telah diambil dengan menyerahkannya ke Hospital Kajang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, punca sebenar keberadaan wanita tempatan itu di Terminal 1 KLIA itu masih belum dapat dipastikan.
Sebelum ini, tular dalam media sosial rakaman seorang wanita yang dikatakan warga asing berada dan menetap di kawasan terminal bersama barangan peribadi selama setahun.
Laporan tular itu turut menyebut, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai bergantung sepenuhnya kepada kemudahan awam seperti internet, pendingin hawa dan bekalan air yang disediakan di lapangan terbang terbabit.


