POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 45 laporan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan laporan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya juga telah merakamkan percakapan lapan orang saksi bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Pada 24 Disember lalu, FAM telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan pasukan kebangsaan.
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan laporan polis itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.


