POLIS menerima satu lagi laporan baharu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh seorang guru sekolah di Kampung Pandan di ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan itu diterima pihaknya jam 1 petang pada semalam.
“Laporan ini melibatkan suspek yang sama dan kini masih dalam tahanan reman.
“Kita harap masyarakat yang mempunyai maklumat tampil membantu pihak polis kerana kes sebegini memerlukan bantuan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Pada Khamis lalu, seorang guru lelaki berusia 40 tahun di sebuah sekolah di Kampung Pandan ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun.
Penahanan itu adalah susulan laporan yang diterima pada 16 Disember lalu.
Suspek telah direman selama enam hari sehingga 25 Disember bagi siasatan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.


