Prabowo rombak Kabinet Indonesia, buat kejutan pecat Sri Mulyani

PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto melakukan kejutan apabila menggugurkan Sri Mulyani sebagai Menteri Kewangan negara itu dalam rombakan Kabinet yang menyaksikan empat lagi menteri digugurkan.

Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi (kanan) dan Setiausaha Sulit Kabinet, Leftenan Kolonel Teddy Indra Wijaya ketika mengumuman rombakan Kabinet oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta, hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi di Istana Merdeka yang turut dihadiri oleh Setiausaha Sulit Kabinet, Leftenan Kolonel Teddy Indra Wijaya.

 Prasetyo berkata, empat lagi menteri yang digugurkan ialah Menteri Penyelaras Politik dan Keamanan, Budi Gunawan, Menteri Perlindungan Pekerja Imigran, Abdul Kadir Karding, Menteri Koperasi Budi Arie dan Menteri Pemuda dan Olahraga (Belia dan Sukan), Dito Ariotedjo.

“Atas berbagai pertimbangan  pandangan  dan penilaian yang dilakukan terus menerus oleh Bapak Presiden maka hari ini sekaligus Bapak Presiden memutuskan untuk melakukan perubahan susunan Kabinet Merah Putih,” kata Prasetyo Hadi.

 Selain itu, kata beliau, Prabowo juga sudah menandatangani Undang-Undang Haji bagi membolehkan pembentukan Kementerian dan pelantikan menteri dilaksanakan.

 Hari ini, Prabowo menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan oleh menteri yang baru dilantik iaitu  Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa, Menteri Perlindungan Pekerja Imigran Indonesia Mukhtarudin, Menteri Koperasi Ferry Juliantono, Menteri Haji dan Umrah Mochamad Irfan Yusuf dan Timbalan Haji dan Umrah, Dahnil Anzar Simanjuntak.

Sementara itu, pengguguran Sri Mulyani yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah dua Presiden Indonesia sebelum ini iaitu Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo memberi impak kepada pasaran saham Indonesia.

Pada masa sama, pakar-pakar ekonomi turut melahirkan rasa terkejut mereka memandangkan Sri Mulyani mempunyai kredibiliti dan dihormati oleh dunia.

Pakar Kanan Ekonomi  Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef) Indonesia, Fahdil Hasan berkata, selama ini Sri Mulyani dikagumi terutama oleh dunia perniagaan kerana keupayaan beliau menjaga kestabilan fiskal.

‘’Berikutan itu, Indonesia masih merupakan salah satu dari negara yang dipercayai mengelola ekonominya dengan baik dan masih menarik untuk pelaburan,’’ katanya.

Walaupun Prabowo tidak menyatakan punca kelima-lima mereka digugurkan namun ia dikatakan ada kaitan dengan demonstrasi yang mencetuskan rusuhan di seluruh Indonesia baru-baru ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img