PRN Sabah: DAP, GRS, BN bertembung di DUN Kemabong

PAKATAN Harapan yang diwakili DAP bertanding di DUN Kemabong selepas Barisan Nasional (BN) turut meletakkan calon walaupun ada persetujuan awal untuk memberi laluan kepada parti itu (DAP), kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, pada peringkat awal kedua-dua parti telah mencapai kata sepakat iaitu DAP bertanding di Kemabong manakala BN diberikan laluan di Liawan.

Menurutnya, disebabkan itu ketika mengumumkan calon DAP, beliau menyatakan parti itu akan mewakili Pakatan Harapan (PH) di lapan kerusi termasuk Kemabong.

“Namun BN menyatakan mereka masih nak bertanding di Kemabong dan atas permintaan itu, saya tak umumkan calon kerusi itu untuk berunding lagi.

“Tapi akhirnya BN tetap kata mereka akan meletakkan calon di Kemabong. Jadi kita tak ada pilihan. Persetujuan awal itu kekal — DAP tetap bertanding di Kemabong dan kita tidak letakkan calon di Liawan,” katanya kepada FMT.

DAP mencalonkan Senator Norita Sual mewakili PH di DUN Kemabong yang menyaksikannya bertembung dua rakan kerjasama politik iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.

GRS meletakkan penyandangnya Rubin Balang manakala BN mengumumkan Rahmah Jan Sulaiman dari UMNO sebagai calon.

PRN Sabah agak menarik apabila GRS menjalin kerjasama dengan PH yang berada dalam satu kerajaan dengan Barisan Nasional. Bagaimanapun, BN dan GRS tidak bekerjasama.

Loke berkata, keputusan itu juga dipengaruhi permintaan akar umbi DAP sendiri yang mahu parti mempertahankan kerusi berpotensi itu.

“Beliau memang pemimpin masyarakat dikenali dan mendapat sokongan kuat ahli dan penduduk tempatan. Jadi kita tak boleh beri laluan di kerusi tersebut,” katanya.

Loke memberitahu jentera DAP di Kemabong sudah bersedia dan isu pertembungan sesama gabungan tidak akan menjejaskan hubungan antara parti.

“Di Sabah budaya politik berbeza dan pertandingan banyak penjuru perkara biasa. Walaupun kita dalam gabungan, kalau bertembung, kita akan berkempen secara positif. Kita tawarkan calon terbaik dan biarkan pengundi yang buat keputusan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img