INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh peranannya dalam menyantuni masyarakat melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan penyerahan 1,000 ekor anak Ayam Saga MARDI berserta bekalan makanan ayam grower kepada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Berangan Enam, Jasin.
MARDI dalam satu kenyataan berkata, majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, sebagai tanda komitmen berterusan MARDI dalam memperkasa kesejahteraan sosioekonomi komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan membantu penduduk kampung menjana pendapatan sampingan, malah turut menyokong usaha memperkukuh sekuriti makanan komuniti melalui penternakan ayam kampung berprestasi tinggi.
‘’Ayam Saga MARDI merupakan baka ayam kampung asli tempatan hasil penyelidikan MARDI sejak tahun 2008 yang dibangunkan secara sistematik menggunakan sumber genetik ayam kampung tempatan serta ayam Saga bersifat dwi-fungsi, sesuai diternak bagi pengeluaran daging dan telur,’’ kata kenyataan itu.
Dari segi prestasi, kenyataan itu memaklumkan, baka tersebut mempunyai kadar tumbesaran lebih cepat berbanding ayam kampung biasa, di samping pengeluaran telur lebih tinggi dan saiz telur lebih besar.
‘’ Ciri-ciri ini menjadikannya sesuai untuk penternakan berskala kecil oleh komuniti setempat sebagai sumber pendapatan yang mampan,’’kata kenyataan berkenan.
Kenyataan tersebut berkata, selain itu, Ayam Saga juga mempunyai ketahanan penyakit yang baik serta boleh diternak melalui pelbagai sistem penternakan, termasuk intensif, separa intensif dan lepas bebas.
‘’ Kelebihan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos penjagaan dan risiko penternakan dalam kalangan penduduk kampung yang baru menceburi bidang tersebut.
‘’MARDI berharap program CSR ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada KRT Kampung Berangan Enam, sekali gus menjadi pemangkin kepada penglibatan komuniti dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan penternakan,’’ kata kenyataan itu.
Inisiatif seumpama itu juga kata kenyataan tersebut selari dengan aspirasi MARDI untuk memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat, di samping menyokong agenda keterjaminan makanan negara.


