PRU-15 : Dr.Marzuki kata Bersatu beri sumbangan kewangan ‘yang bukan sedikit’ kepada Pas…Sanusi tanya bagi kat sapa?

‘’Hasilnya, Pas menang 43 kerusi Parlimen, iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah Pas sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia,’’ – Datuk Dr.Marzuki Mohamad

KENYATAAN Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mula yang menyatakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada Pas dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu mula menimbulkan polemik dalam gabungan itu.

Hari ini bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr.Marzuki Mohamad berkata, semasa  PRU-15 Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan pilihanraya.

‘’Apabila mereka bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional, semua peralatan pilihanraya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN,’’ katanya dalam Facebook beliau.

Beliau berkata, perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu dan parti itu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas.

‘’Hasilnya, Pas menang 43 kerusi Parlimen, iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah Pas sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia. Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada Pas yang saya percaya Sanusi sendiri tahu,’’ katanya.

Dalam catatan itu juga Dr.Marzuki yang bersetuju dengan anggaran Sanusi bahawa dana pilihan raya yang diperlukan untuk satu kawasan Parlimen lebih kurang RM1 juta, menyenaraikan kos-kos lain.

‘’Jumlah RM1 juta ini bagi saya “bare minimum”. Kalau serius nak menang pilihanraya jumlahnya mungkin lebih besar. Jumlah ini pula bergantung kepada jumlah pengundi, saiz kawasan parlimen dan keperluan logistik yang berbeza-beza.

‘’Kalau di Sabah dan Sarawak jumlahnya lebih besar kerana kos logistik yang lebih tinggi. Apa kosnya? Nak cetak bendera mesti ada duit. Poster calon mesti dibayar. Itu belum masuk bill board, kain rentang, topi, t-shirt, buluh dan kayu untuk pacak bendera dan lain-lain. Ini semua bukan percuma,’’ katanya.

Beliau berkata, jentera pilihanraya mesti dilatih dan kosnya bukan murah.

‘’Setelah dilatih mereka dihantar bertugas semasa kempen dan pada hari mengundi. Yang jadi Polling Agent dan Counting Agent (PACA) diberi elaun. Kalau tak diberi elaun mereka ponteng. Siapa nak perhati proses membuang undi dan mengira undi kalau mereka ponteng. Kalau ada penipuan kerana tiada PACA di tempat mengundi parti akan kalah,’’ katanya.

Di sesetengah tempat kata Dr.Marzuki memerlukan kenderaan untuk mengangkut pengundi. van, kereta dan motosikal digunakan. Elaun driver mesti disediakan. Duit minyak mesti diberi. Kalau tak diberi tak ada lah kenderaannya.

‘’Mak Senah dan Pak Maun yang menunggu di pintu rumah tak keluar mengundi sebab tak ada orang jemput. Kalau parti kalah sebab kurang dua undi tak ke menyesal. Ini belum masuk kos kajian pilihanraya, kos pengiklanan di media massa dan media sosial, kos mengendalikan bilik gerakan pilihanraya dan lain-lain kos runcit.  Jadi pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira mana-mana parti pun inilah kos yang terpaksa ditanggung,’’ katanya.

DIA BAGI KAT SIAPA DUIT – SANUSI

SEMENTARA itu, Berita Harian melaporkan, Sanusi berkata, tidak pasti pihak mana yang menerima dana didakwa disalurkan Bersatu kepada Pas pada PRU15.

“Tanya dia, dia bagi kat siapa duit tu?” kata Sanusi yang meminta Dr.Marzuki memperjelaskan dengan lebih terperinci dakwaan tersebut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img